Industri perlancongan mempunyai potensi besar dan mampu dijadikan sumber ekonomi baharu yang menguntungkan.  Sungai Kuali Campsite merupakan salah satu tempat pelancongan yang menarik untuk dikunjungi oleh kaum keluarga dan rakan taulan.  Encik Almansah bin Din, 59 tahun merupakan salah seorang pemilik Sungai Kuali Campsite yang diusahakan secara bersama oleh ahli keluarga. Beliau merupakan anak sulong daripada tujuh orang adik beradik dan merupakan nadi penggerak untuk memajukan tempat ini. Tempat ini sering dikunjungi oleh mereka yang sering mengadakan program seperti program motivasi dan kursus disamping bercuti bersama kenalan dan teman rapat.  Anak kelahiran Janda Baik, Pahang ini telah berkhidmat sebagai Penyelia di Pejabat Felda Mempaga 3 selama 10 tahun. 

            Penubuhan Pusat Internet Felda Mempaga 3 telah membuka peluang dan ruang untuk beliau menambah pengetahuan dan menggunakan kemudahan yang telah disediakan.  Antara perkhidmatan yang sering digunakan adalah penggunaan internet, scan dan printing.  Beliau sering mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar daripada petugas berkaitan email iaitu cara penghasilan dan penggunaan gmail.  Pada mulanya, beliau bertanyakan mengenai mesin faks, tetapi petugas mengesyorkan perkhidmatan email yang lebih ringkas, cepat dan mudah.  Perkhidmatan dan layanan petugas yang mesra pengguna menggamit beliau untuk berkunjung semula ke Pusat Internet.  Tambahan pula, dengan fasiliti dan kemudahan yang serba canggih memudahkan beliau untuk menghantar email berkenaan quotation harga kepada pelanggan.

            Menurut Encik Almansah permintaan terhadap Sungai Kuali Campsite semakin tinggi apabila tibanya hujung minggu dan cuti persekolahan.  Secara purata pendapatan adalah sekitar RM 1500 tetapi apabila tibanya musim tertentu pendapatan sekitar RM 3000 ke RM 4000 sebulan.  Antara program yang sering dijalankan di sana adalah Hari Keluarga, perjumpaan ahli kelab kereta, program perkhemahan pelajar sekolah dan belia.  Selain itu, beliau juga turut menggunakan Facebook dan blog untuk mempromosikan tempat tersebut yang ditadbir oleh ahli keluarga beliau sendiri.  Tambah beliau lagi kemudahan seperti gazebo, chalet, kolam pancing, sungai, jungle trekking, padang dan dewan mampu menggamit lebih ramai pengunjung ke sana.  Beliau juga ingin menjadikan kawasan tersebut sebagai Agro Pelancongan dengan menyediakan tanaman kontan seperti ubi kayu dan pokok buah-buahan.  Apabila tiba musim buah-buahan, pelancong akan dapat merasai dan menikmati keenakan buah-buahan tempatan dan memperkenalkan pula kepada yang lain untuk terus mengunjungi Sungai Kuali Campsite.

            Keindahan panaroma dan kesejukan air Sungai Kuali menjadikan tempat tersebut begitu menarik untuk dikunjungi.  Jauh dari hiruk pikuk kota, kesegaran airnya mampu memberi terapi kepada mereka yang tertekan dengan suasana di hutan batu.  Encik Almansah bercadang untuk menambah fasiliti seperti menyediakan basikal dan motor beroda tiga untuk kegunaan pengunjung yang datang.  Mereka dapat menikmati keindahan alam semulajadi sambil beriadah dan mengelilingi kawasan kampung bersama-sama.  Setakat ini, Sungai Kuali Campsite mempunyai dua orang pekerja tambahan dalam membantu mereka sekeluarga membangun dan menguruskan kawasan tersebut.  Beliau berharap pihak Pusat Internet dapat membantu beliau dalam memberi tunjuk ajar dalam mempromosikan lagi tempat tersebut supaya lebih dikenali dan terkenal seantero dunia.

      

Layari : https://www.facebook.com/SungaiKualiCampSite

http://sungaikualicampsite.blogspot.com/