Che Melor Marzuki, 51 tahun merupakan penerokawati Felda yang sangat membanggakan kerana mampu meraih pelbagai kejayaan hasil usaha dalam bidang keusahawanan Salon.  Kegigihan beliau berniaga membuka mata banyak pihak, bermula dengan perniagaan rumah ke rumah dan seterusnya berjaya membuka kedai beliau sendiri di Feldajaya Mempaga.  Beliau sangat mesra pelanggan dan kebanyakan pelanggan yang datang merupakan pelanggan tetap.  Ibu kepada tiga orang anak ini sangat cekal dan kental dalam mengusahakan salon sehingga berjaya.

Che Melor Marzuki, pemilik Melor Beauty Salon

            Demi minat yang mendalam dalam perniagaan, beliau telah mengorak langkah dengan mengemukakan permohonan pijaman Usahawan Felda (SIUF) sebanyak RM 10,000 pada peringkat awal.  Kemudian beliau juga turut membuat pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) untuk melebarkan empayar perniagaan.  Beliau dibantu oleh kaum keluarga dan seorang pekerja iaitu Rohani Mohd.   Kegigihan beliau membuahkan hasil apabila mendapat Anugerah Usahawan Felda Wilayah Mempaga dan Anugerah Usahawan Tekun Cemerlang peringkat Negeri Pahang.

            Semasa program Hari Bersama Pusat Internet (PI) Felda Mempaga 3 pada bulan Oktober 2013, beliau juga turut memeriahkan acara dengan mengambil tempat untuk membuka gerai jualan produk-produk kesihatan dan kecantikan.  Beliau juga turut menghantar anak dan pekerjanya untuk menyertai program keusahawanan di Pusat Internet untuk mendapatkan pelbagai input berguna untuk diaplikasikan di dalam perniagaan.  Sehingga kini beliau bersedia untuk menyertai sebarang aktiviti yang diaturkan Pusat Internet untuk memajukan lagi perniagaan Salon miliknya.

            Melor Beauty Salon mempunyai capaian internet sendiri dan ini memudahkan beliau untuk memasarkan produk dan perkhidmatan sendiri.  Beliau lebih terbuka dan mengaplikasikan penggunaaan facebook untuk menerima tempahan daripada pelanggan yang berada di seluruh Malaysia.  Sehingga kini pendapatan bulanan secara purata telah mencecah RM 40,000.  Itu adalah pencapaian yang sangat membanggakan bagi sebuah Salon yang berada di pinggir Bandar.  Namun pencapaian itu tidak menyebabkan beliau terus terhenti di situ, beliau sering bertemu pelanggan di luar untuk meningkat dan memantapkan lagi perniagaan yang sedia ada.  Bak kata pepatah “Jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya”. 

            Semasa sesi temubual beliau tidak lokek berkongsi pengalaman dan memberitahu kita perlu berani mencuba dan harus kuat.  Sebelum ini, pelbagai onak dan duri terpaksa ditempuh beliau tetapi berkat kesabaran semua itu berjaya dilalui.  Beliau juga berhasrat untuk membuka cawangan di tempat lain untuk melebarkan lagi perniagaan Salon miliknya.  Walaupun perniagaan beliau hanya di pinggir bandar namun beliau ingin membuka mata semua pihak bahawa penjagaan kecantikan dan kesihatan itu adalah sangat penting untuk kesejahteraan hidup.

 Premis perniagaan Melor Beauty Salon, Feldajaya Mempaga

Anugerah Khas TEKUN CEMERLANG

Peringkat Negeri Pahang 2012