Arbaayah Binti Sabri berumur 34 tahun merupakan surirumah yang menjalankan perniagaan bahulu secara kecil-kecilan. Menurut beliau, bahulu yang dihasilkannya merupakan resepi bahulu warisan turun temurun yang dipelajari daripada ibunya. Beliau merupakan ibu kepada 2 orang anak. Suami beliau Mohd Roslan bin Yusoff sering memberi galakan kepada beliau untuk lebih maju dalam bidang perniagaannya. Bagi beliau sokongan dan galakan daripada suaminya menjadi pendorong kepada kemajuan perniagaannya kini.

Bermula dengan modal sendiri yang dikumpulkan, beliau memulakan perniagaan bahulunya ini sejak lebih 2 tahun lalu. Pada awal perniagaan ini, beliau cuma menerima tempahan dalam jumlah yang kecil. Permintaan akan meningkat ketika tiba musim perayaan. Perniagaan beliau semakin berkembang dari sehari ke sehari kerana permintaan pelanggan yang semakin bertambah. Tempahan yang diterimanya tidak terhad di musim perayaan sahaja malah beliau juga menerima banyak tempahan bahulu untuk majlis-majlis keraian.

Antara produk bahulu yang dijual adalah bahulu cermai, bahulu bunga, bahulu ikan dan bahulu pecah lapan. Produk yang paling mendapat sambutan dan permintaan tinggi ialah bahulu cermai dan bahulu pecah lapan. Buat masa sekarang proses pembuatan bahulu beliau dibantu oleh 3 orang saudaranya.

 

bahulu

Antara produk bahulu keluaran Puan Arbaayah

 

Beliau mula mendaftar sebagai ahli di Pusat Internet Felda Mempaga 3 pada November 2013. Kemudian beliau mula mengikuti kursus asas komputer yang dianjurkan di PIIM kerana beliau sedar akan kepentingan dan keperluan Teknologi Maklumat pada masa kini. Sepanjang kelas yang diikutinya menjadikan beliau mahir menggunakan perkakasan dan perisian komputer.

 

1454933 435132576591903 855693628 n

Puan Arbaayah (hadapan) bersama rakan-rakannya ketika mendaftar sebagai ahli

Beliau juga turut mengikuti Kursus Keusahawanan Siber yang dianjurkan Pusat Internet sepanjang Mac hingga Mei 2016. Di dalam kursus tersebut, pihak Pusat Internet memperkenalkan kaedah penjenamaan (branding) untuk usahawan-usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Puan Arbaayah mula mempunyai jenama bahulunya sendiri iaitu ‘Bahulu Tradisi Arbaayah Sabri’ . Kursus keusahawanan yang diikutinya memberikan kesan besar kepada perniagaannya dengan kaedah promosi atas talian yang amat berkesan. Sekarang beliau sering menerima tempahan dalam kapasiti yang besar dari dalam dan luar negeri Pahang.

20160520110958

 

Puan Arbaayah (bediri) bersama rakannya ketika mengikuti kelas Keusahawanan Siber Mei lalu

 

Menurut beliau, promosi atas talian seperti Mudah.my, Facebook, Instagram, Blog dan lain-lain yang dipelajarinya di Pusat Internet Felda Mempaga 3 sangat membantu mengembangkan perniagaannya. Sehingga ke hari ini, beliau tidak putus-putus mengunjugi Pusat Internet dan mengikuti kelas keusahawanan yang dianjurkan di Pusat Internet. Memandangkan permintaan kepada produk bahulunya yang semakin meningkat, beliau bercadang untuk membuka kilang memproses dan menambah bilangan pekerjanya.