Puan Zamzita Abdul  Hamid, 39 tahun merupakan anak kelahiran Felda Lembah Klau.  Beliau merupakan anak bongsu daripada tiga adik beradik dan mempunyai sijil autocad dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Jalan Semarak, Kuala Lumpur.  Apabila tamat belajar, beliau telah bekerja sebagai pelukis pelan selama 12 tahun di salah sebuah syarikat swasta di Pulau Pinang.  Setelah mendirikan rumah tangga, beliau berjinak-jinak memulakan perniagaan di Pulau Pinang dengan menjual nasi lemak manakala suami beliau pula terlibat dalam aktiviti perniagaan batik.  Pada tahun 2014 beliau telah berpindah ke Taman Mempaga Utama.  Beliau sering ke Pusat Internet untuk mendapatkan maklumat berkenaan perniagaan yang bakal dijalankan.

            Perkenalan bermula apabila kali pertama Puan Zamzita singgah di Pusat Internet dan petugas menyarankan untuk beliau mendaftar sebagai ahli Pusat Internet Felda Mempaga 3.  Sejak mendaftar sebagai ahli, beliau kerap mengunjungi Pusat Internet 1Malaysia untuk menyediakan kertas kerja, label produk dan dokumentasi rekod-rekod perniagaan.  Beliau sering menggunakan perkhidmatan printing dan fotostat kerana disini terdapat pelbagai kemudahan dibawah satu bumbung.  Beliau mempunyai sebuah kedai di Medan Selera, Feldajaya Mempaga dan sehingga kini mempunyai seorang pembantu.  Antara produk yang dihasilkan ialah pelbagai aneka kek, cheese tart, tiger roll, mexico bun, pizza, roti sarang lebah, bun pelbagai inti seperti kaya, kelapa, kacang merah dan butter.  Suami beliau akan membuat penghantaran ke kedai-kedai sekitar Mempaga, Lebu dan Kilang Sawit.  Selain itu mereka juga akan berniaga di Uptown Raub pada setiap malam Sabtu.  Menurut beliau sambutan disana sangat baik dengan kehadiran pengunjung sekitar Raub dan Bentong.

            Permulaan perniagaan, Puan Zamzita dan suami hanya bermodalkan RM 10,000 untuk menyediakan peralatan dan menyewa kedai.  Sehingga kini pendapatan kasar perniagaan adalah sebanyak Rm 3,000.  Melalui perbualan, beliau berkata mereka akan mencari tapak baru untuk menubuhkan bengkel pembuatan roti dan kek.  Selain penghasilan roti dan kek, beliau juga ada membuat masakan panas pada sebelah petang dan malam.  Beliau juga dalam perancangan untuk menghadiri kursus penyediaan “Western Food”.  Sehingga kini perniagaan beliau semakin berkembang dari hari ke hari dan beliau juga ada menubuhkan koperasi keluarga.  Melalui pelbagai inisiatif yang dilakukan, beliau mampu bergerak maju ke depan seiring dengan peredaran semasa.  Peningkatan kos sara hidup dan kenaikan harga barang tidak mematahkan semangat beliau demi minat yang mendalam dalam bidang pembuatan kek dan roti.

            Tambahan pula, dengan kecanggihan teknologi Puan Zamzita telah mempelajari asas pembuatan kek dan roti daripada youtube.  Pembelajaran secara alam maya dapat membantu beliau untuk menghasilkan kek dan roti walaupun beliau bukanlah daripada bidang tersebut. Seorang pelukis pelan mampu menjadi chef dan menjalankan perniagaan dengan jayanya disebabkan minat yang mendalam.  Kemudahan capaian internet memudahkan beliau dan suami mengakses resepi dan cara baru untuk melebarkan lagi sayap ke peringkat yang lebih tinggi.  Dunia di hujung jari, segalanya mungkin dengan kemudahan jalur lebar cuma memerlukan usaha yang berterusan demi kejayaan yang mendatang.  Puan Zamzita kini merupakan usahawan yang semakin naik dan usahanya akan menampakkan hasil apabila produk yang dihasilkan mendapat tempat diseluruh pelusuk tanah air dan diharapkan beliau akan terus berjaya sampai bila-bila.

Puan Zamzita menerima sijil setelah selesai Kursus Asas Pembuatan Kek

dari Akademi Chef Amir

Untuk Tempahan boleh menghubungi Puan Zamzita

di talian tertera