Industri Kecil dan Sederhana (IKS) kini sudah mendapat tempat dalam komuniti Felda terutama dalam sektor pembuatan makanan.  Puan Hasnah Abdul Rahman 46 tahun, penerokawati di Felda Mempaga 3 merupakan antara usahawan yang menunjukkan minat yang mendalam dalam bidang IKS dan beliau telah menubuhkan syarikat Citarasa Warisan Enterprise sejak 6 tahun lepas.  Beliau merupakan ibu kepada 6 orang cahaya mata dan kini giat menghasilkan pelbagai jenis kerepek dan kuih kering antaranya kerepek pisang, maruku dan jejari pelbagai perisa.  Pada mulanya, beliau menghasilkan kuih secara kecil-kecilan dirumah tetapi kini beliau sudah mempunyai bengkel sendiri dengan kemudahan pelbagai mesin.

            Puan Hasnah Abd Rahman dibantu oleh 2 orang pekerja dalam pembuatan kuih sehingga proses pembungkusan.  Produk yang dihasilkan akan dipasarkan sekitar daerah Bentong dan kadangkala mendapat permintaan daripada luar daerah.  Kemudahan kredit dan modal pusingan diperoleh daripada Bank Rakyat dan juga MARA.  Selain itu, beliau juga mendapatkan khidmat nasihat Dinamik MARA dalam menjalankan perusahaan sehingga berjaya.  Pihak FELDA juga turut membantu dalam menyediakan kursus untuk meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan kemampuan usahawan untuk berdiri sama tinggi duduk sama rendah setanding dengan usahawan di luar tanah rancangan.

            Lokasi Pusat Internet (PI) Felda Mempaga 3 terletak berdekatan dengan rumah Puan Hasnah, dengan itu memudahkan beliau untuk hadir ke program dan mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak Pusat Internet.  Setiap bulan, Puan Hasnah akan meluangkan sedikit masa untuk menyertai Kelas Komputer bermula dengan asas seterusnya ke Modul Pembangunan Asas Media Baru.  Kini, beliau sudah mempunyai Email dan Facebook untuk memperkenalkan dan memasarkan produk ke seluruh Malaysia.  Tambahan lagi dengan perkembangan teknologi yang semakin canggih, kini dunia tanpa sempadan.  Beliau juga sering menggunakan kemudahan di Pusat Internet untuk mencari resepi baru untuk mempelbagaikan kuih disamping dapat memenuhi citarasa pelanggan. 

            Apabila ditanya berkenaan PI, beliau tersenyum dan berkata kemudahan yang disediakan kerajaan ini sangat bagus dan rasa bertuah kerana berpeluang untuk mempelajari IT.  Beliau juga melihat PI sebagai satu pusat pemasaran produk yang mampu menembusi pasaran dan dapat meningkatkan pendapatan syarikat.  Beliau juga berharap agar di Pusat Internet ada menyediakan pakej untuk pembelian laptop dan pakej Internet yang murah dimana dapat membantu usahawan untuk terus berkembang maju.  Apabila permintaan tinggi terhadap produk, pengeluaran dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.

            Pelbagai rintangan dilalui oleh beliau, namun semua itu dianggap sebagai pencetus semangat untuk beliau terus berjaya dan membesarkan perniagaan.  Perniagaan ini sedang rancak berkembang dan mesin-mesin untuk penghasilan kuih kering juga ada yang masih belum sampai.  Beliau tetap meneruskan penghasilan kuih dan keuntungan bersih setiap bulan adalah sebanyak RM 3,000.  Ini sedikit sebanyak dapat membantu beliau untuk menyara keluarga dan tidak bergantung terus dengan hasil sara hidup Felda.  Keusahawan mampu mengubah nasib individu malahan dapat menjana ekonomi penduduk dan seterusnya menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.  Jom kita celik dan bijak IT, segalanya dihujung jari.

Puan Hasnah bersama hasil produk IKS di bengkel beliau

Untuk tempahan boleh menghubungi beliau di talian tertera

Puan Hasnah sering ke Pusat Internet untuk mempelajari ilmu ICT iaitu

promosi melalui FB