Zulkepli bin Abas, 52 merupakan anak kelahiran Triang, Pahang. Beliau tinggal menetap sebagai peneroka di Felda Mempaga 3, Karak, Pahang sejak tahun 1986. Beliau merupakan pengusaha popia pedas dan kek lapis masam manis. Beliau tidak menyangka resepi tradisi turun-temurun ini membuahkan hasil dan menjadikan beliau bergelar usahawan.

 

13103379 1016620095058843 6533338234012310987 n

Encik Zulkepli Abas

 

Encik Zulkepli adalah pemilik syarikat di bawah nama Zuraida Enterprise yang  mula beroperasi sejak 3 tahun lalu. Permulaan kepada perniagaannya, beliau mengusahakan perusahaan popia pedas dan kek lapis secara kecil-kecilan dibantu oleh isterinya Raidah binti Othman, 52. Disamping itu, beliau juga membuka gerai makanan di hadapan rumahnya.

Menurut beliau perniagaannya bermula dengan menggunakan modal sendiri untuk membeli bahan mentah dan perkakasan. Kini perniagaannya semakin berkembang dan menghasilkan keuntungan yang berlipat ganda. Produk perusahaannya mendapat sambutan yang menggalakkan dan permintaan mula melonjak terutamanya di musim perayaan.

 

 

popia cikzul

Popia pedas rangup dari Zuraida Enterprise

 

13124687 1016621631725356 8985497816356555278 n

Kek Masam Manis keluaran Zuraida Enterprise

 

Produk hasil keluaran syarikatnya dipasarkan secara terus dan melalui ejen pengedar seluruh Malaysia. Walaupun terdapat banyak persaingan daripada pengusaha sekitar kawasan setempat, beliau yakin perkara itu tidak menjejaskan perniagaannya kerana produknya turut mendapat nilai tambah dan tempahan yang semakin meningkat daripada luar.  Kegigihannya membuahkan hasil apabila semakin banyak permintaan dan kebanyakan pelanggan beliau akan ‘repeat order’ untuk produk kek masam manis dan popia pedas rangup yang menjanjikan keenakan yang luar biasa.

Beliau mula mendaftar sebagai ahli di Pusat Internet Felda Mempaga 3 pada November 2013. Beliau sering menggunakan kemudahan internet, mengikuti kelas ICT dan Kursus E-Usahawan  yang dianjurkan Pusat Internet. Dengan bimbingan dan tunjuk ajar daripada petugas Pusat Internet, kini beliau berjaya memasarkan produknya secara atas talian di dalam Mudah.my, Facebook, Instagram dan Dashboard. Menurut beliau, dengan pengiklanan percuma secara atas talian ini menjadikan perniagaannya semakin berkembang. Menurut beliau lagi, pengiklanan atas talian ini sangat berkesan disamping menjimatkan kos, masa dan tenaga.  Beliau berharap dapat melebarkan lagi sayap perniagaan dan terus maju bagi membangunkan ekonomi setempat.